My Life, My Story

My Life, My Story

Wednesday, November 10, 2010

Kisah Si Gadis

Pada suatu ketika, ada seorang gadis bertemu dengan seorang teruna. Si gadis sering memerhatikan si teruna dari jauh dan sentiasa terhibur melihat keletah dan sikap si teruna. Dari jauh, dia kelihatan sungguh pendiam tetapi setiap tingkah-lakunya mengundang hilai-tawa orang disekelilingnya. Betapa dia sungguh menyenangkan. Kebetulan si gadis sangat mudah tertarik pada orang yang mampu membuat senyuman terukir di bibirnya. Akhirnya si gadis mula mencari cara untuk mengenali si teruna. 




Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Tapi sebelum perpisahan terjadi, si gadis sedaya-upaya mencari jalan untuk memastikan pertemuan itu untuk bukan untuk kali terakhirnya. 

Hari berganti hari, minggu berganti minggu...si gadis cuba mencari jalan untuk mendekati si teruna walaupun sudah terang-terang keberadaan dua insan ini adalah sangat jauh. Peluang buat pertemuan kali ke-2 tidak pernah terbayang difikiran. Cuma kemudahan teknologi yang menjadi penghubung kepada 2 hati ini. Dari sekadar bertanya-khabar bertukar kepada mengenali hati budi. Rupanya si teruna tidaklah pendiam seperti yang si gadis sangkakan. Dia sangat pandai mengambil hati dan sering membuat si gadis tertawa. Semakin lama, timbullah rasa sayang.

Mungkin sudah tertulis atau pun secara kebetulan, si gadis dan keluarganya membuat perancangan untuk bercuti. Destinasi yang dipilih oleh keluarga si gadis adalah berhampiran dengan keberadaan si teruna. Sungguh gembiranya hati si gadis. Mungkinkah si gadis dapat bertemu dengan si teruna? Hari demi hari, persiapan untuk percutian telah dirancang rapi. Percutian itu mungkin tidak lama, tapi mungkin ini lah kesempatan si gadis bertemu dengan si teruna. Siapa tahu. Mungkin itulah pertemuan kali terakhir. 





Hari yang ditunggu telah tiba. Akhirnya, keluarga si gadis pun bertolaklah ke destinasi percutian yang telah dirancang. Panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas tetap menjadi penghubung tetapi sedikit pun si gadis tidak mengkhabarkan si teruna bahawa dia akan bercuti di tempat keberadaan si teruna. Tujuannya, mungkin si gadis ingin membuat kejutan kepada si teruna. 




Setelah menempuh perjalanan yang sangat panjang, akhirnya si gadis dan keluarganya tibalah ke destinasi yang telah dipilih. Si gadis cuba memberi 'hint' kepada si teruna tentang keberadaannya. Tapi si teruna seolah-olah tidak percaya. Akhirnya, si gadis pun menelefon si teruna dan memberitahu bahawa dia dan keluarganya telah memilih 'tempat tersebut' sebagai destinasi percutian. Si teruna sangat terkejut dan dia masih tidak percaya. Akhirnya si gadis meminta keizinan si teruna untuk berjumpa. 

Atas keizinan kedua ibu bapa si gadis, si gadis akhirnya bertemu dengan si teruna pada malam itu. Si gadis kelihatan sungguh gembira. Mungkin kerana tidak menyangka akan bertemu dengan si teruna. Mereka berbual panjang pada malam itu. Si gadis kelihatan sedikit kekok dan tidak banyak bercakap, tetapi mujurlah si teruna pandai menghidupkan suasana malam itu dengan lawak spontan dan gurauannya. Mulai dari saat itu, mereka sudah mula membicarakan soal hati dan perasaan.




Akhirnya percutian pun sampai di penghujungnya. Hajat si gadis ingin bertemu dengan si teruna sebelum pulang tapi mungkin kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pertemuan itu tidak dapat dilakukan. Terasa sebak di hati si gadis ketika itu. Si gadis mula terfikir "mengapakah dia perlu berasa sebak dan berat hati? adakah dia mula menyayangi si teruna? atau adakah mungkin si gadis sudah dapat meneka bahawa tiada lagi pertemuan buat kali yang ke-3?"




Mulai dari detik itu, perhubungan si gadis dan si teruna menjadi lebih rapat walaupun perhubungan itu masih diatas dasar sahabat. Walaupun medium perhubungannya hanyalah telefon dan email. Mereka mula menguji perasaan masing-masing. Si teruna mula menegur setiap tingkahlaku si gadis manakala si gadis menjadi mudah tersentuh apabila ditegur si teruna. Entah kenapa, begitu mudah si gadis mengalirkan air mata apabila si teruna menegur sikap si gadis. Tapi sebaik sahaja si teruna tahu bahawa dia telah menyakiti hati si gadis, dengan sedaya-upaya si teruna cuba mengembalikan tawa di bibir si gadis sekaligus menghapuskan rasa sedih si gadis atas teguran si teruna tadi. Tapi mengapakah si gadis menjadi begitu sensitif padahal pada awalnya si gadis ini bukan jenis yang mudah terasa dengan kata-kata orang sekelilingnya? Rupanya si gadis betul-betul mengambil berat di atas teguran si teruna dan merasa diri tidak sempurna untuk si teruna. Si teruna pula berani sungguh berani menegur. Adakah kerana si teruna sayang pada si gadis?

Minggu demi minggu berlalu, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan ke tahap yang lebih serius. Walaupun masing-masing tidak pernah mengungkapkan rasa hati, tetapi kedua-duanya dapat memahami maksud hati masing-masing. Tiada ungkapan tapi cukup untuk difahami. 




Tapi semuanya tidak bertahan lama. Si gadis merupakan seorang yang cukup suka berfikir jauh. Si gadis mula memikirkan bahawa dia tidak layak buat si teruna kerana terasa banyak kekurangan di dalam diri si gadis. Si gadis mula merasa tidak yakin dengan perhubungan tersebut kerana keberadaan masing-masing yang 'sangat-sangat terpisah'. Si gadis mula merasa kurang senang dengan sikap si teruna yang suka menegurnya padahal si gadis tahu teguran-teguran itu ada kebaikannya. Entah kenapa si gadis bersikap keanak-anakan. Akhirnya si gadis meminta perhubungan itu diputuskan. Tiada kata bantahan dari si teruna. Dia sungguh tenang. Mungkin dia juga dapat mengagak keadaan itu akan terjadi.

Setelah berbulan-bulan berlalu, si gadis tetap tiada pengganti walaupun ada segelintir berkata perhubungan itu terputus gara-gara si gadis bertemu dengan lelaki lain. Sesungguhnya mereka tidak tahu bahawa hatinya tidak pernah lupa pada si teruna. Keputusan terburu-buru yang dilakukan oleh si gadis benar-benar menjadi pengajaran kepadanya. Walaupun sebagus mane lelaki yang datang, si gadis tetap tidak dapat membuka hatinya untuk lelaki tersebut. Walau sehebat mane pun lelaki itu, ia masih tidak dapat menggantikan tempat si teruna tadi. Jadi mengapakah si gadis meminta perhubungan itu ditamatkan? Dia sendiri tidak pasti.

Tiba-tiba pada suatu hari, si gadis menerima pesanan ringkas dari si teruna. Sungguh bahagianya rasa hati si gadis. Entah mengapa dunianya jadi sungguh ceria seperti tiada beban di kepala. Setelah sekian lama, akhirnya si gadis menerangkan keadaan sebenarnya kepada si teruna. Rupa-rupanya si teruna sedikit pun tidak menyimpan dendam kepada si gadis malahan si teruna sudah melupakan kisah-kisah lama tersebut. Dan akhirnya mereka mula bersahabat kembali. Sampai manakah persahabatan itu? Si gadis sendiri tidak tahu. Si gadis merasakan telah melakukan kesalahan terbesar terhadap si teruna tapi si teruna tidak pernah merasakan begitu.

Sehingga detik ini, si gadis sentiasa terfikir 'masih sayangkah dia pada-ku?' 'sudahkah dia maafkan segala kesalahan-kesalahanku?' 'adakah dia takut untuk mendekatiku buat kali yang ke-2?' Jadi biarlah si gadis menanggung segala kesalahan yang telah dilakukan atas kebodohan dirinya sendiri.

Kerana sehingga kini, tiada siapa yang dapat mengetuk pintu hatinya. Mungkin kerana si gadis masih tidak dapat melupakan si teruna dan mungkin kerana segala memori yang pernah ada masih terpahat didalam hatinya. Setiap kali teringat memori itu, si gadis pasti akan tersenyum sendiri dan mula menyesali kebodohan dirinya.




Di waktu dan ketika ini, persahabatan diantara mereka terjalin baik. Semoga tiada lagi kesalahan-kesalahan bodoh yang dilakukan oleh si gadis. Cukuplah sekadar persahabatan. Tidak mahu lagi rasanya si gadis menyakitkan perasaan si teruna. 



~MENYAYANGI TIDAK SEHARUSNYA MEMILIKI~

2 comments:

  1. macam nak sama ja kisah ni dgn my life... cerita sendiri ke alia?

    ReplyDelete
  2. kalau ada jodoh, ada la kan ? :)

    ReplyDelete